Article

Tanpa 5 Asas Pengurusan Ini, Susah untuk Perniagaan Anda Berkembang

Pengurusan

09 Jan 2023 • 3 min read

Ramai orang minat meniaga. Akan tetapi, tidak ramai yang mampu bertahan kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan perniagaan dengan baik. Ada juga yang cepat putus asa dan berhenti separuh jalan dalam mengejar misi dan visi untuk menjadi usahawan berjaya.

 

 

 

Seorang usahawan bukan sekadar perlu hasilkan idea yang bagus. Kerja keras semata-mata juga tidak menjamin kelangsungan perniagaan. Hakikatnya, pelbagai cabaran bakal dihadapi sepanjang proses membangunkan perniagaan. Oleh itu, anda harus mendalami ilmu pengurusan terlebih dahulu dan menguasai selok-belok perniagaan dalam jangka panjang. 

 

Pengurusan perniagaan merupakan tunjang kepada kekuatan sesebuah entiti perniagaan. Para usahawan hendaklah bijak mengatur strategi dalam mentadbir syarikat demi mencapai objektif utama iaitu membina perniagaan yang kukuh dan pantas berkembang.  

 

Antara perkara asas pengurusan perniagaan ialah pengurusan sumber manusia, pengeluaran, pemasaran, kewangan dan maklumat. Mahirkan diri anda dalam kesemua aspek penting ini untuk memantapkan perniagaan. 

 

1. Pengurusan sumber manusia 

 

Rancang dan urus tenaga kerja anda dengan teliti. Anda patut tahu jumlah staf yang diperlukan dan juga kriteria yang tepat untuk memenuhi kekosongan jawatan. Contohnya, jika anda sedang mencari akauntan, calon mestilah mempunyai ijazah perakaunan yang diiktiraf oleh kerajaan, pengalaman kerja yang bersesuaian serta pemahaman yang mendalam tentang perkembangan atau perubahan undang-undang semasa dan hal ehwal cukai. 

 

Sekiranya tersalah memilih calon pekerja, ia akan membawa kepada masalah yang menyukarkan syarikat di kemudian hari. Tambahan lagi, proses mengganti pekerja atau mencari bakat baru yang sesuai akan memakan masa dan boleh mengganggu kelancaran operasi perniagaan.  

 

Tanpa 5 Asas Pengurusan Ini, Susah untuk Perniagaan Anda Berkembang

 

2. Pengurusan pengeluaran 

 

Produk atau servis merupakan hasil keluaran (output) syarikat yang melibatkan kepuasan pelanggan. Jadi, barangan atau perkhidmatan tersebut mestilah mempunyai faktor pelaris unik atau unique selling point (USP) yang tersendiri. Sebaiknya lakukan penyelidikan dan pembangunan atau research and development (R&D) terlebih dahulu bagi mengenal pasti sumber dan kos yang diperlukan di samping cara untuk kekal relevan kepada pelanggan.  

 

Jika anda berniaga tudung, anda wajib mengkaji jenis material dan proses pembuatan serta mencipta pembungkusan terbaik. Kalau anda berniaga makanan pula, dapatkan pembekal bahan mentah yang berkualiti dan cari tapak niaga yang strategik. 

 

3. Pengurusan pemasaran 

 

Pemasaran ialah aktiviti yang dilakukan untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Pengurusan pemasaran pula ialah cara yang digunakan untuk merancang strategi tepat dan bersesuaian supaya jualan anda dapat ditingkatkan. 

 

Platform apa yang ingin digunakan? Ayat copywriting yang macam mana boleh menyentuh emosi pelanggan? Apakah taktik pemasaran dalam talian (online) yang paling berkesan untuk sasaran pengguna anda? Semua perkara ini perlu difikirkan. Semakin ramai yang suka, semakin tinggi potensi perniagaan anda untuk berkembang! 

 

Tanpa 5 Asas Pengurusan Ini, Susah untuk Perniagaan Anda Berkembang

 

 

4. Pengurusan kewangan 

 

Pengurusan kewangan merangkumi cara anda mendapatkan keuntungan menerusi pelaburan yang betul serta kaedah perbelanjaan yang cermat. Sekiranya anda ingin memajukan perniagaan, anda mestilah bijak menguruskan duit syarikat agar perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi angka pendapatan syarikat. 

 

Selain itu, anda harus mengkaji secara terperinci bagaimana cara untuk mendapatkan dana dari institusi kewangan dengan mengambil kira tempoh bayaran balik yang tidak membebankan. Terdapat pelbagai sumber dana yang boleh anda manfaatkan untuk menggerakkan operasi perniagaan.  

 

5. Pengurusan maklumat 

 

Pada era teknologi masa kini, pelbagai jenis maklumat dapat dikawal selia dengan lebih mudah. Dalam aspek pengurusan maklumat perniagaan, anda perlu cepat membuat penyesuaian untuk menerapkan digitalisasi (adapt to adopt) supaya tidak ketinggalan jauh berbanding usahawan lain yang mempunyai literasi digital.  

 

Pastikan anda sentiasa peka dengan perubahan teknologi terkini agar berupaya mengadaptasi sistem pengurusan maklumat tanpa sebarang masalah. Kegagalan menguruskan maklumat dengan cekap akan mempengaruhi kestabilan dan kelancaran perniagaan anda.  

 

Kelima-lima asas pengurusan ini mesti difahami dan diambil kira dalam proses mengembangkan perniagaan. Sikit atau banyak modal yang dikeluarkan tidak dapat mengukur kejayaan atau kegagalan sesebuah syarikat. Hanya pengurusan yang sistematik dapat mengekalkan dan meningkatkan momentum usaha anda untuk mencapai kemajuan dalam dunia perniagaan. 

 

Memilih penyelesaian perniagaan yang tepat memang mencabar. unifi Business Club (uBC) tampil sebagai hab sehenti yang menyediakan manfaat eksklusif kepada semua pelanggan perniagaan unifi. Jom terokai pelbagai solusi hari ini!