Article
Perbezaan Budaya Kerja Generasi Milenial dan Generasi Z
25 Jan 2023 • 3 min read
Golongan pekerja hari ini bukan sahaja bebas bertugas mengikut masa sendiri tetapi diberi peluang untuk memilih haluan karier mengikut minat dan kecenderungan diri. Bagaimanakah ciri-ciri kedua-dua generasi ini mempengaruhi pengambilan pekerja di syarikat anda?
Generasi milenial yang lahir pada dekad 80-an hingga pertengahan 90-an lazimnya mencari peluang pekerjaan dalam bidang yang sama seperti yang dipelajari di universiti. Namun, bagi golongan siswazah Generasi Z (Gen Z), mereka lebih cenderung untuk memilih karier yang sesuai dengan minat dan bakat yang dimiliki.
Apabila menyentuh soal budaya kerja antara generasi milenial dan Gen Z, ada banyak lagi perbezaan ketara yang dapat dilihat dari pelbagai sudut. Antaranya termasuklah waktu kerja, cara pemakaian, faedah kakitangan dan banyak lagi.
Kami kongsikan empat perbezaan utama budaya kerja antara generasi milenial dan Gen Z. Info ini boleh dimanfaatkan oleh pengurus sumber manusia yang bertanggungjawab memilih tenaga kerja yang paling sesuai untuk berkhidmat di syarikat anda.
Kolaboratif vs berdikari
Generasi milenial lebih terbuka untuk bersosial dan bekerja secara berkumpulan. Demi mencapai matlamat utama, mereka meluangkan masa dan tenaga bersama ahli kumpulan untuk menyelesaikan sesebuah projek yang ditugaskan dalam jangka waktu tertentu, manakala Gen Z lebih selesa bekerja sendiri serta meletakkan fokus sepenuhnya kepada mencapai kejayaan diri sendiri.
Sifat-sifat ini memperlihatkan bahawa golongan Gen Z sebenarnya sangat berdikari dan lebih terbuka untuk menjadi diri sendiri agar mampu mencapai kejayaan seperti yang diinginkan. Bagi Gen Z, percanggahan idea mungkin akan menjejaskan prestasi kerja mereka. Oleh itu, bekerja sendiri dianggap lebih memudahkan kerana ia tidak melibatkan pihak lain yang mempunyai corak pemikiran yang berbeza.
Mendengar kata vs berani bersuara
Generasi milenial mungkin lebih bersedia menurut arahan kerana sudah terbiasa dengan budaya kerja konvensional yang memerlukan mereka mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh pihak syarikat. Jika tidak, mereka bakal berdepan dengan amaran yang mungkin menggugat status pekerjaan mereka di syarikat berkenaan. Berbeza pula dengan Gen Z yang lebih berani menyuarakan pendapat dan hak mereka.
Keadilan dan kesamarataan amat diutamakan dalam budaya kerja hari ini tanpa mengenal agama, bangsa, pangkat mahupun jantina. Rata-rata syarikat masa kini sudah mengadaptasi budaya kerja yang moden bahkan menggalakkan kakitangan di semua peringkat umur untuk turut sama berkongsi idea dan pendapat. Pendekatan ini dianggap berkesan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan pekerja dan membawa syarikat ke tahap yang lebih berwawasan.
Waktu kerja tetap vs waktu kerja fleksibel
Para pekerja milenial biasanya dikehendaki mematuhi waktu kerja yang tetap bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Tamat sahaja waktu kerja, mereka tidak perlu lagi berdampingan dengan kertas kerja kerana tiada kemudahan seperti Internet mahupun telefon pintar sebagai alat komunikasi yang memudahkan proses kerja pada ketika itu.
Bagi Gen Z yang lahir pada tahun 2000 dan tahun-tahun seterusnya, mereka sudah terdedah dengan penggunaan peranti seperti telefon pintar dan kemudahan Wi-fi.
Sejak COVID-19 melanda negara, banyak syarikat mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan norma kerja baharu yang fleksibel. Syarikat memberi kebebasan kepada pekerja untuk bekerja dari rumah mengikut kesesuaian waktu individu asalkan tugasan yang dipertanggungjawabkan boleh diselesaikan dalam waktu yang ditetapkan.
Segala permasalahan berkaitan kerja boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat menerusi khidmat pesanan ringkas WhatsApp, e-mel atau panggilan video menggunakan aplikasi dalam talian seperti Zoom.
Perkembangan kerjaya vs gaji lumayan
Budaya kerja generasi milenial banyak tertumpu kepada peningkatan prestasi. Tanpa pencapaian yang baik, mereka beranggapan bahawa tidak akan mendapat ganjaran dan pengiktirafan daripada pihak pengurusan syarikat seperti kenaikan gaji atau kenaikan pangkat. Oleh sebab itu, ramai pekerja golongan milenial didapati berusaha keras dan sanggup bermula dari bawah demi membina karier yang dapat menjamin masa hadapan yang cerah.
Bagi Gen Z pula, mereka lebih ‘memilih’ kerana mengimpikan pekerjaan yang dibayar setimpal dengan tahap kelulusan. Mereka lebih tertarik dengan pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi. Faktor ini mungkin didorong oleh masalah kewangan yang dilihat membebani ibu bapa mereka. Mereka biasanya tidak membuat pilihan untuk bekerja dari bawah dan dibayar dengan gaji permulaan yang rendah.
Justeru, ramai anak muda Gen Z memilih untuk membangunkan karier sendiri seperti membuka perniagaan sendiri kerana ia dikatakan dapat menjamin pendapatan yang lebih lumayan berbanding bekerja dengan majikan.
Untuk pelbagai maklumat terkini tentang pengurusan modal insan, kunjungi laman Artikel kami.
Tawaran khas buat ahli Unifi Business Club (UBC): Tingkatkan produktiviti dan kemahiran kakitangan anda melalui AirAsia Academy.
Community Discussion
Want to join the conversation?
To unlock comments, log in or sign up now!
Dig deeper on topics that matter to you
Interested in more helpful content?
Just sign up to access it all: a wealth of exclusive business insights, events you can attend and so much more!
Sign up now