Artikel

4 Jenis Storan Awan (‘Cloud Storage’) yang Anda Perlu Tahu

Digitalisasi
Digitasi
Teknologi
Keselamatan Siber
Storan Awan

19 Jan 2023 • Bacaan 4 minit

Storan awan memudahkan pemilik perniagaan untuk mengakses data dan maklumat yang disimpan pada bila-bila masa tanpa had lokasi. Dengan hanya menggunakan peranti elektronik yang disertai sambungan Internet, pengguna akaun storan awan berpeluang meraih banyak manfaat. Mahu penerangan terperinci tentang jenis-jenis storan awan? Baca info ini!    

 

 

Storan awan (cloud storage) ialah platform maya yang berfungsi untuk menyimpan dan menempatkan pelbagai jenis data atau maklumat secara dalam talian. Ia merupakan satu perkhidmatan alternatif yang popular digunakan ketika ini untuk menyusun atur penyimpanan maklumat. Keberkesanannya diakui terutamanya dalam mengendalikan maklumat penting milik sesebuah organisasi seperti syarikat korporat mahupun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih sistematik dan terpelihara daripada ancaman berbahaya, contohnya kebakaran, bencana alam, kecurian atau serangan siber. 

 

Kehidupan kita semakin hari dibanjiri maklumat yang berlebihan sehingga sukar untuk mengawal keberadaannya. Lebih banyak ruang yang diperlukan untuk menyimpan data penting sama ada di dalam ruang penyimpanan peribadi seperti pemacu jari (thumb drive) atau cakera keras luaran (external hard disk) bagi data berformat digital. Walau bagaimanapun, kaedah penyimpanan tersebut sebenarnya terdedah kepada risiko kehilangan, kecurian dan sebagainya.  

 

Kehadiran teknologi inovatif seperti storan awan sebenarnya berpotensi untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh banyak pihak terutamanya para pemilik perniagaan yang baru sahaja hendak mendigitalkan perniagaan mereka. 

 

Antara kelebihan yang boleh dikecapi apabila memanfaatkan penggunaan storan awan untuk menguruskan maklumat penting perniagaan adalah anda dapat berkongsi data bersama pengguna lain dengan mudah. Selain itu, anda juga boleh menjimatkan penggunaan kertas selain dapat menyemak dan memuat turun dokumen yang diperlukan walau di mana anda berada. 

 

Perkhidmatan storan awan membuka peluang kepada pengguna untuk menyimpan data digital milik mereka di dalam ruang penyimpanan maya dan membolehkan proses menyunting, meminda serta memindahkan dokumen dari satu tempat ke tempat lain secara dalam talian.  

 

Storan awan ialah platform penyimpanan yang versatil kerana boleh menempatkan pelbagai jenis data penting dalam beraneka format termasuklah dokumen Word, hamparan elektronik Excel mahupun fail video. Ketahui empat jenis storan awan yang mempunyai fungsi tersendiri bagi menepati keperluan berbeza.

 

 4 Jenis Storan Awan (Cloud Storage) yang Anda Perlu Tahu

 

Storan awan awam 

 

Public cloud storage atau storan awan awam ialah model perkhidmatan yang ditawarkan oleh pembekal servis yang menyediakan ruang simpanan dalam talian berdasarkan tahap penggunaan pihak atau individu yang melanggan mengikut harga servis yang telah ditentukan. 

 

Harga langganan yang ditetapkan oleh pembekal servis untuk storan awan awam adalah lebih murah berbanding storan awan jenis lain. Ia tidak memerlukan sebarang penyenggaraan. 

 

Storan awan awam berciri komersial kerana dilengkapi akses mudah serta ruangan yang sesuai untuk pengguna yang memiliki perniagaan. Pengawalan datanya pula lebih ringkas. Setiap pengguna yang melanggan perkhidmatan storan awan jenis awam boleh menentukan fungsi serta tahap keselamatan kawalan yang diingini mengikut keperluan masing-masing. 

 

Ia juga mudah digunakan oleh pelbagai pihak termasuklah kakitangan organisasi atau individu persendirian untuk melakukan aktiviti perkongsian fail serta penyimpanan dokumen yang cekap.  

 

Storan awan peribadi 

 

Private cloud storage atau storan awan peribadi yang bersifat persendirian bertindak sebagai storan dalaman yang digunakan dalam persekitaran khusus dan dilindungi. Pelaksanaannya dihoskan secara dalaman manakala segala data dan dokumen yang berkenaan akan disimpan di dalam rangkaian peribadi milik syarikat itu sendiri. 

 

Model storan awan jenis peribadi ini selalunya digunakan oleh syarikat atau organisasi gergasi yang memiliki pusat data mereka sendiri bagi memudahkan proses pemantauan dan pengawalan privasi data secara dalaman. 

 

Storan awan peribadi sangat sesuai untuk mana-mana syarikat yang beroperasi di dalam persekitaran sensitif yang melibatkan data dan maklumat sulit seperti rekod kesihatan, data kewangan dan data peribadi. Data sebegini memerlukan perlindungan optimum bagi mengelak serangan siber yang berisiko menjejaskan keselamatan data dan maklumat terkawal. 

 

 4 Jenis Storan Awan (Cloud Storage) yang Anda Perlu Tahu

 

 

Storan awan campuran 

 

Hybrid cloud storage ialah storan awan campuran yang menggabungkan fungsi storan awan awam dan peribadi. Ia menawarkan lebih banyak pilihan untuk penyebaran data serta fleksibiliti. Ruang penyimpanannya lebih besar untuk menghimpun lebih banyak dokumen dan fail maklumat kerana sistem penyimpanan sudah diintegrasikan antara storan awan awam dan peribadi. Oleh yang demikian, penggunaan storan awan campuran boleh mendatangkan kebaikan untuk pengurusan perniagaan anda. 

 

Jika terdapat gangguan atau kegagalan sistem di dalam storan awan awam, jangan khuatir. Anda sebenarnya boleh melakukan salinan backup di dalam sistem storan yang satu lagi. Hal ini akan mengurangkan risiko kerosakan fail. Semua data sensitif yang penting boleh disimpan di dalam storan awan peribadi manakala maklumat umum boleh menggunakan ruangan di dalam storan awan awam. Dengan cara ini, masa dan pengeluaran kos dapat dijimatkan! 

 

Storan awan komuniti 

 

Model storan awan yang dikenali sebagai community cloud storage atau storan awan komuniti menjurus kepada penggunaan yang merangkumi beberapa organisasi tertentu dalam komuniti yang sama. 

 

Ia bukanlah hak persendirian untuk kegunaan satu organisasi semata-mata, sebaliknya dikongsi bersama beberapa badan atau pengguna lain yang mempunyai pengurusan sama seperti cawangan bank, badan pengurusan universiti atau jabatan polis yang beroperasi di dalam negeri yang sama. 

 

Pihak pembekal yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan ini akan menawarkan perisian yang direka khas untuk memenuhi keperluan komuniti tertentu. Apa sahaja bentuk data yang disimpan di dalam storan awan peribadi milik komuniti akan dipantau dan dilindungi dengan strategik bagi mengelak sebarang ancaman. Ia sesuai digunakan oleh syarikat-syarikat besar seperti syarikat kesihatan, kewangan atau undang-undang dengan dasar pematuhan yang ketat. 

 

Anda berisiko menanggung kerugian kerana tidak mempunyai sistem pengurusan maklumat yang teratur? Dapatkan penyelesaian Unifi Cloud Storage bagi meningkatkan kecekapan urusan perniagaan anda.