Artikel

[VIDEO] Usahawan Lokal Unifi: Noranis Hasilkan Kek Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Nasihat Niaga

31 Oct 2023 • Bacaan 5 minit

Siapa sangka, perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan di rumah dengan peralatan yang terhad dan ratusan ringgit sebagai modal dapat memberi keuntungan yang lumayan. Inilah hakikat yang dikongsikan oleh pengusaha perniagaan bakeri dan pastri, Noranis Ayu Nordin, yang merupakan pengasas Anies Bake House.

Menurut Noranis, beliau mula berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak usia 18 tahun dengan mengambil tempahan kuih raya pada setiap bulan Ramadan. Beliau pada asalnya hanya ingin mencuba dan tidak menyangka dapat memperoleh sambutan yang baik dengan jumlah tempahan bernilai RM10,000 pada bulan pertama. Hal ini telah memberi suntikan semangat kepada beliau untuk terus menceburkan diri dalam bidang pembuatan bakeri dan pastri.

“Pada awalnya, saya hanya menggunakan peralatan yang sedia ada di rumah dan bahan-bahan untuk membuat kuih hanya dibeli mengikut jumlah tempahan yang diterima. Jadi saya tidak memerlukan modal yang banyak untuk memulakan perniagaan. Pemasaran juga dibuat dari mulut ke mulut dengan melantik beberapa orang rakan sebagai ejen untuk mempromosikan produk dan merekodkan tempahan di beberapa lokasi,” kata Noranis.

Noranis yang juga bekerja sepenuh masa sebagai setiausaha pada ketika itu menyiapkan tempahan pada waktu malam dan hujung minggu dengan dibantu oleh ibu saudara beliau. Berbeza dengan zaman sekarang, pelanggan pada tahun 1990-an kurang memberi perhatian terhadap aspek pembungkusan produk, tetapi lebih mementingkan rasa, rupa bentuk dan jenis kuih yang ditawarkan, kata Noranis.

“Mak saya ketika itu berniaga di kantin sekolah dan banyak menyimpan bekas makanan seperti bekas gula-gula. Jadi saya gunakan bekas makanan tersebut untuk menyimpan kuih yang seterusnya akan diedarkan terus kepada pelanggan. Zaman dulu, pelanggan tidak ambil kisah soal pembungkusan. Kuih raya juga agak sukar didapati di kedai-kedai kerana tidak ramai yang menawarkan perkhidmatan pembuatan bakeri dan pastri ketika itu. Walau bagaimanapun, pelanggan dapat menikmati rasa asli kuih kerana bahan utama seperti jem nanas bagi pembuatan tart nanas dihasilkan sendiri oleh peniaga,” kata Noranis.

Noranis yang kini berusia 49 tahun memiliki sebuah kedai dan studio pengeluaran produk bakeri dan pastri di Cyberjaya, Selangor. Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya korporat dan membuka sebuah kedai fizikal di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada tahun 2013 selepas mendapat kelulusan pinjaman daripada TEKUN Nasional (RM50,000) dan Al Rajhi Bank (RM80,000). Walaupun jumlah pinjaman yang telah diluluskan tidak mencukupi untuk menampung kos pembukaan kedai yang berjumlah RM150,000, Noranis nekad untuk meneruskan niatnya dengan bantuan dan sokongan daripada beberapa rakan rapat beliau. Berkat usaha dan sokongan mereka, Noranis berjaya mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka kedai fizikal kedua pada tahun 2016 di Dpulze Shopping Centre.

 

Noranis berkongsi resepi dan teknik membuat roti kepada peserta Kursus Bakeri di Shah Alam yang dianjurkan MARA

 

Menurut Noranis, beliau mula mendapat perhatian pelbagai pihak selepas menerima tempahan untuk menghasilkan kek buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sempena sambutan Hari Ibu pada tahun 2019. Pada tahun yang sama, Noranis turut terpilih untuk menghasilkan kek sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Noranis menghasilkan kek berbentuk Balairong Seri Istana Negara. Katanya, oleh kerana reka bentuk kek yang rumit, beliau memerlukan masa empat hari dengan dibantu oleh lima orang kakitangan untuk menyiapkan kek tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila pandemik COVID-19 melanda, Noranis terpaksa menutup kedai yang juga studio pengeluaran beliau di Shaftsbury Square berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada tahun 2020. Sepanjang PKP berlangsung, sebahagian besar perniagaan tidak dapat beroperasi selama beberapa bulan dan mengakibatkan kerugian. Keadaan ini memaksa beliau untuk mengubah strategi perniagaan dengan membuka studio pengeluaran di taman perumahan dan menawarkan pelbagai jenis produk roti di kawasan berdekatan melalui ejen yang diupah. Ini membolehkan beliau menyediakan asrama kepada pekerja serta dapat meneruskan operasi dan bertahan sehingga ke hari ini.

Di samping menjalankan perniagaan pembuatan bakeri dan pastri, Noranis juga merupakan fasilitator yang dilantik Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak 2019 untuk melatih peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang baru memulakan perniagaan. Antara kursus yang ditawarkan beliau di bawah tajaan MARA ialah kursus pembuatan pelbagai jenis bakeri dan pastri serta kursus menghias bunga dan hamper.

Dengarkan perkongsian Noranis tentang kisah kejayaan perniagaan beliau di saluran YouTube Unifi. Anda juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan serta program keusahawanan di halaman Artikel dan Acara Unifi Business Club (UBC).

Bukan mudah untuk berjaya. Noranis, yang memulakan perniagaan beliau sejak berumur 18 tahun, kini memiliki sebuah kedai fizikal dan studio pengeluaran di Cyberjaya, Selangor.

Usahawan Lokal Unifi: Noranis Hasilkan Kek Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Solusi berkaitan

image

Dapatkan pek kupon bernilai RM300…

Solusi

0

Lalamove

Penghantaran Barangan Bisnes 'On Demand…

  • Mengurangkan kos tetap
  • Bayar hanya apa yang anda perlukan
  • Pilihan pelbagai destinasi penghantaran
  • Penghantaran secara 'on-demand'
image

Capaian lebih ramai pelanggan dengan…

Solusi

0

EasyParcel

Penghantaran Barangan Hanya dengan Satu…

  • Sehingga 60+ pilihan kurier domestik dan antarabangsa seperti Pgeon, Pos Laju, J&T Express, FedEx, DHL eCommerce dan banyak lagi
  • Proses tempahan dalam talian yang pantas
  • Kadar penghantaran yang berpatutan, bermula daripada RM5/5kg bagi satu bungkusan
  • Percuma kutipan dari pintu ke pintu
image

Mendayakan perusahaan skala kecil untuk…

Solusi

1

ScoreXcess

Portal Permohonan Pembiayaan Bisnes…

  • Padanan kemampuan bisnes anda dengan mana-mana agensi/institusi kewangan
  • Proses kelulusan sehingga 3 hari bekerja bergantung kepada dokumen lengkap
  • Dikuasakan oleh CEDAR
  • 'Onboarding' ringkas