Artikel

4 Cara Anda Boleh Tukar Prospek Jadi Pelanggan

Pemasaran & Penjenamaan

27 Jan 2023 • Bacaan 3 minit

Peniaga harus sentiasa aktif membuat promosi dan bijak merangka strategi pemasaran untuk menarik minat pengguna. 

 

Setiap perniagaan pasti mempunyai sasaran jualan tersendiri yang ada turun naiknya. Banyak faktor yang menyumbang kepada situasi ini. Antaranya, memperoleh pelanggan baharu bukanlah mudah. Selain persaingan sengit, aktiviti pemasaran yang kurang efektif juga boleh menyukarkan proses menukar prospek menjadi pelanggan.   

 

Sebagai pemilik perniagaan, anda tidak boleh rasa selesa dan berpuas hati dengan strategi pemasaran yang sedia ada. Sentiasalah berusaha untuk meningkatkan daya saing dan mengembangkan jumlah pelanggan. Jom ikuti langkah-langkah ini! 

 

Pemasaran produk melalui TikTok  

 

Walaupun banyak platform media sosial di luar sana yang boleh digunakan, TikTok dilihat lebih berkesan dalam meningkatkan jumlah jualan, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

Contoh kandungan yang sesuai untuk akaun perniagaan ialah video yang mempromosi produk atau perkhidmatan secara tidak langsung (soft sell) serta kandungan berbentuk pendidikan. Di samping itu, menampilkan topik yang sedang trending juga boleh membantu anda mencapai lebih banyak prospek yang seterusnya berpotensi menjadi pelanggan.  

 

Setiap hari, ada sahaja trend dan audio TikTok baharu yang muncul. Sebagai pemilik perniagaan, anda harus memanfaatkan trend ini jika mahu video TikTok anda tersenarai di For You Page (FYP). Dengan kadar penglibatan pengguna atau engagement rate yang tinggi, perniagaan anda akan berupaya meyakinkan lebih ramai bakal pelanggan. 

 

4 Cara Anda Boleh Tukar Prospek Jadi Pelanggan

 

Hantar e-mel kepada pelanggan  

 

Kebanyakan pengguna suka menggunakan e-mel sebagai medium untuk menerima bahan promosi. Antara kandungan dan bahan komunikasi yang boleh dihantar kepada pengguna sasaran anda ialah e-mel alu-aluan (welcome email), surat berita (newsletter), notis promosi, pengumuman pelancaran produk baharu dan testimoni agar prospek lebih mengenali produk atau servis yang ditawarkan. 

 

E-mel juga bersifat lebih eksklusif dan peribadi berbanding pemasaran media sosial. Secara tidak langsung, prospek dan pelanggan akan rasa dihargai dan yakin untuk membuat pembelian. 

 

Melalui pemasaran e-mel (email marketing), pemilik perniagaan mampu menyasarkan prospek yang sudah berminat dengan produk atau servis tetapi masih belum membuat pembelian. Dengan menghantar bahan-bahan seperti testimoni bersama kupon pembelian, anda boleh meyakinkan prospek untuk membuat keputusan dengan segera.   

 

Bina jenama peribadi yang kukuh  

 

Jenama peribadi yang menyerlah sebenarnya mampu menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan sesuatu produk atau perkhidmatan. 

 

Bagaimana anda boleh membentuk jenama peribadi? Ramai yang berpendapat bahawa anda perlu menjadi seorang pemengaruh atau influencer yang popular untuk mempunyai jenama peribadi yang kuat. Ini merupakan salah tafsiran yang sering berlaku dalam kalangan pemilik perniagaan. 

 

Padahal, cukup sekadar anda menjadi diri sendiri. Kongsi pengalaman peribadi dan paparkan kandungan yang menarik. Anda akan mula menawan hati komuniti dalam talian yang setia dengan anda.  

 

Antara perkongsian di media sosial yang anda boleh lakukan untuk membentuk jenama peribadi ialah bercerita tentang permulaan perniagaan, berkongsi jadual harian anda, hobi, gambar percutian dan macam-macam lagi. Harus diingatkan, gambar atau video yang dikongsikan hendaklah berkualiti tinggi dan mempunyai nilai estetika yang tertentu berdasarkan sasaran prospek perniagaan anda. 

 

4 Cara Anda Boleh Tukar Prospek Jadi Pelanggan

 

Program kesetiaan  

 

Program kesetiaan membuatkan para pengguna berminat untuk terus membeli produk daripada sesebuah jenama atau mencuba jenama tersebut. Jika anda seorang pengusaha PMKS yang ingin meningkatkan jualan dalam kelompok pelanggan yang sedia ada dan memperoleh pelanggan baharu, anda perlu melaksanakan program kesetiaan.  

 

Salah satu kekangan program kesetiaan tradisional berupa kad fizikal adalah pelanggan kerap terlupa untuk mengumpul mata ganjaran. Malah, mereka akan kehilangan kesemua cop yang terkumpul sekiranya kad hilang. Dengan solusi program kesetiaan digital, program anda kini boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang kupon fizikal. Ia boleh diuruskan melalui aplikasi telefon pintar bagi memudahkan pelanggan dan pemilik perniagaan. Secara tidak langsung, anda berpeluang menambat hati prospek dan pelanggan juga akan membuat pembelian berulang.

 

Anda sedia untuk tingkatkan prestasi perniagaan? Kunjungi laman Solusi kami sekarang. Banyak faedah eksklusif menanti ahli Unifi Business Club (UBC)!