Artikel

CyberSecurity Malaysia Bekerjasama dengan Unifi Business untuk Memperkasakan Keselamatan Siber PKS

Keselamatan Siber

20 Jul 2023 • Bacaan 5 minit

Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia mencatatkan 14,229 kes jenayah siber pada 2020 dengan kerugian RM413 juta. Susulan peningkatan jenayah siber di seluruh dunia, pelaksanaan keselamatan siber bagi sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

CyberSecurity Malaysia (CSM) dengan kerjasama Unifi Business baru-baru ini telah menganjurkan seminar untuk meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber dalam kalangan PKS. Seminar tersebut yang bertajuk “Kesan serangan siber terhadap PKS di Malaysia: Adakah anda akan menjadi mangsa seterusnya?” telah diadakan pada 15 Jun 2023 di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur. Penceramah dan ahli panel seminar yang diketengahkan merupakan pakar bidang daripada CSM dan Unifi Business. Acara ini adalah sebahagian daripada Program Galakan Pemerkasaan Keselamatan Siber (PGPKS) CSM yang telah dilancarkan pada Disember 2021.

Menurut Pengurus  Jabatan Perhubungan Industri dan Kerjasama Keselamatan Siber CSM, Muhamad Izwadee Hamzah, selain seminar, CSM turut menawarkan penilaian tahap kesediaan keselamatan siber komprehensif secara percuma kepada PKS bagi membantu mereka untuk menghadapi ancaman siber yang kian meningkat dan kompleks.

“Kita tahu bahawa sebahagian besar mangsa serangan siber merupakan PKS, namun ironinya sebilangan besar pengusaha PKS tidak tahu tentang tahap kesediaan keselamatan syarikat mereka dan tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk melindungi syarikat atau mengukuhkan lagi sistem keselamatan siber mereka yang sedia ada.

“Melalui PGPKS, pihak kami dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengusaha PKS agar mereka faham akan kepentingan melaksanakan penilaian serta mengetahui dengan lebih jelas tahap kesediaan keselamatan siber syarikat mereka. Dengan penilaian, kefahaman dan pengetahuan yang PKS dapat melalui program PGPKS ini, mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi perniagaan mereka daripada menjadi mangsa serangan siber. Namun, ini tidak bermakna mereka akan terhindar secara total daripada sebarang serangan siber. Perlu diingat risiko serangan siber sentiasa ada, tetapi kali ini mereka akan lebih bersedia untuk menghadapinya,” kata Izwadee yang juga merupakan Pengarah Projek bagi PGPKS.

Seminar keselamatan siber yang diadakan CSM dan Unifi Business

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sasaran CSM menerusi program PGPKS ini adalah untuk menawarkan insentif kepada 300 PKS tempatan yang dipilih dari seluruh Malaysia dalam jangka masa lima tahun (2021–2025). Nilai insentif yang diperuntukkan bagi setiap PKS berjumlah RM80,000 hingga RM100,000 bergantung kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan seperti saiz dan kategori perusahaan tersebut. Menurut Penolong Pengurus Besar Rekaan Solusi dan Produk Unifi Business, Alex Lai Xiao Yuan, dianggarkan 80 PKS yang juga merupakan ahli Unifi Business Club (UBC) akan menerima insentif ini di bawah kerjasama Unifi Business dan CSM.

“Ini merupakan antara kelebihan yang kita tawarkan kepada ahli UBC. Walau bagaimanapun, oleh kerana jumlah penerima insentif yang terhad, jemputan ke seminar ini hanya dihantar kepada ahli UBC terpilih berdasarkan saiz dan kategori syarikat. Sekiranya mereka berminat untuk mendapatkan insentif tersebut, mereka perlu mendaftar secara dalam talian di akhir seminar dan melalui proses penilaian terlebih dahulu sebelum mendapat kelulusan daripada CSM. Ini penting bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan menerima manfaat daripada insentif tersebut,” kata Alex.

Alex menambah, program seminar ini turut membolehkan pengusaha PKS untuk mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan penyelesaian keselamatan siber yang ditawarkan oleh Unifi Business iaitu Kaspersky Small Office Security.

“Mungkin masih ramai yang tidak tahu, sebagai peneraju penyedia solusi digital, Unifi Business turut menawarkan beberapa pakej penyelesaian bagi membolehkan pengusaha PKS menangani ancaman siber. Mereka boleh memilih pakej yang sesuai mengikut keperluan dan bajet syarikat,” katanya.

Menurut Alex, seminar yang sama akan diadakan pada suku ketiga tahun ini untuk memberi peluang kepada pengusaha PKS yang lain.

Selain Unifi Business, CSM juga bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan dan agensi kerajaan tertentu untuk menjayakan PGPKS. Ini termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan mengikuti program usaha sama yang dianjurkan oleh Unifi Business dan CSM atau agensi lain yang akan datang? Kunjungi laman Artikel dan Acara UBC serta ikuti Unifi Business di Facebook untuk perkembangan terkini.