Artikel
Kepimpinan dalam Perniagaan: 5 Ciri Utama yang Anda Perlu Ada
13 Feb 2023 • Bacaan 2 minit
Macam mana nak kukuhkan syarikat kalau tak boleh jadi ketua yang baik? Tanpa kepimpinan yang berkualiti, perniagaan anda tidak mungkin mampu pergi lebih jauh.
Banyak tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul dalam menguruskan perniagaan. Cabaran demi cabaran yang harus ditempuhi menuntut kebijaksanaan dan sifat kepimpinan yang hebat.
Sebagai ketua syarikat, pekerja memandang tinggi kredibiliti anda. Gerak-geri anda sebagai kapten yang mengemudi perjalanan perniagaan akan sentiasa diperhatikan dan dinilai dari segenap sudut.
Keperibadian sebagai seorang pemimpin tidak boleh dibentuk dalam masa sehari dua. Pengalaman dan perilaku yang sesuai diperlukan untuk anda menguasai nilai-nilai kepimpinan. Tanpa kewibawaan yang tinggi, perniagaan yang diterajui nescaya menemui kegagalan.
Visi dan misi yang jelas
Bagi mendapatkan kepercayaan staf, anda harus memperjelaskan matlamat utama syarikat bagi menentukan hala tuju, wawasan serta strategi perniagaan untuk jangka masa panjang.
Pastikan semua pekerja faham skop tugasan mereka serta mampu bekerjasama untuk mencapai matlamat dan meraih kejayaan.
Contohnya, anda mahu mencapai jualan RM1 juta dalam masa enam bulan. Pastikan kakitangan komited dan tahu tanggungjawab mereka agar matlamat tersebut mampu dicapai dalam jangka waktu yang telah ditetapkan.
Rasa tanggungjawab
Seorang pemimpin hendaklah menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Utamakan perkara mustahak terlebih dahulu supaya anda mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan masalah dan mengelakkan daripada membuat keputusan yang kurang tepat.
Sifat bertanggungjawab akan menjadikan anda lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan kerana ia melibatkan masa depan perniagaan serta kebajikan kakitangan.
Pendengar yang baik
Tidak semua pemimpin mampu menjadi pendengar yang baik dan boleh menerima setiap pendapat atau buah fikiran yang diajukan oleh staf mereka dengan hati terbuka.
Sebaiknya, luangkan masa bersama staf untuk mendapatkan idea atau perspektif baru yang mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah syarikat anda. Di samping itu, pertukaran idea dapat menggalakkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan kakitangan.
Sekiranya masih ada perkara yang berbangkit, pilihlah untuk berbincang. Hubungan baik yang terjalin di antara majikan dan pekerja mampu menghasilkan mutu kerja yang cemerlang sekali gus meningkatkan prestasi syarikat.
Mahir berkomunikasi
Usahawan bukan sahaja perlu pandai selok-belok perniagaan tetapi mesti bijak berkomunikasi dengan para pekerja dan rakan niaga. Komunikasi yang berkesan dapat membantu melancarkan operasi syarikat.
Misalnya, jika anda mahu memberi arahan kepada staf, pastikan ia disampaikan dengan jelas dan beretika serta menggunakan bahasa yang baik dan mudah difahami.
Kemahiran komunikasi sangat penting untuk dikuasai bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh menimbulkan konflik dan tekanan di tempat kerja.
Keberanian yang tinggi
Kelompok usahawan yang berjaya selalunya terdiri daripada individu yang berani menanggung risiko. Mereka sanggup berdepan dengan apa jua rintangan yang mendatang.
Para peniaga yang menyahut cabaran transformasi dan sanggup beranjak ke platform digital ialah golongan yang berani melaksanakan perubahan demi memastikan perniagaan mereka kekal relevan.
Sebagai ketua, anda bukan sahaja perlu berani melakukan perubahan tetapi juga berani menegur setiap kesilapan yang dilakukan oleh staf anda.
Ia tidak bererti anda boleh meluahkan kemarahan dan melemparkan kritikan sesuka hati. Dalam menegur, lakukanlah secara berhemah dan profesional. Berikan teguran yang membina tanpa perlu meninggikan suara.
Serlahkan daya keusahawanan anda dengan kursus latihan AirAsia Academy yang disediakan eksklusif untuk ahli Unifi Business Club (UBC).
Solusi berkaitan
Temukan pembelajaran ‘on-demand’ dengan…
Akademi AirAsia
Pelaburan Bisnes Menerusi Pendidikan
- Tingkat dan tambah kemahiran demi merebut peluang yang ada
- Dapatkan kemahiran agar seiring dengan arus semasa
- Kandungan kursus pembelajaran yang relevan
- Kursus berkualiti tinggi yang direka dan diiktiraf universiti serta pengajar berpengalaman
Dialog Komuniti
Ingin menyertai perbualan?
Daftar sekarang dan suarakan pendapat anda!
Dalami topik yang menjadi keutamaan anda
Interested in more helpful content?
Just sign up to access it all: a wealth of exclusive business insights, events you can attend and so much more!
Daftar sekarang