Artikel

Susah Nak Buat Keputusan yang Tepat? Mudah Saja dengan 5 Cara Ini

Tip & Panduan
Pengurusan

02 Feb 2023 • Bacaan 3 minit

Sebagai usahawan, anda pasti sering mengalami dilema apabila berdepan dengan kekeliruan atau masalah yang timbul sepanjang mengemudi perniagaan.  

 

Proses membuat keputusan bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak aspek penting yang perlu diambil kira bagi mencapai matlamat utama. Nampak macam senang, namun setiap pertimbangan yang anda lakukan akan memberi kesan kepada prestasi syarikat dan kakitangan anda. 

 

Jadi, bagaimanakah cara terbaik untuk mencapai keputusan yang terbaik serta mengurangkan risiko pada masa akan datang? 

 

Usah tergesa-gesa 

 

Elak memutuskan sesuatu perkara dalam keadaan emosi terganggu. Ambil masa untuk bertenang terlebih dahulu sebelum kembali berfikir dengan fokus yang lebih baik. Apabila jiwa berada dalam keadaan tenteram, barulah anda dapat mengambil keputusan yang adil dan tidak berat sebelah. 

 

Misalnya, anda ingin menyewa pejabat baru dengan kos yang rendah namun lokasinya jauh di pedalaman. 

 

Biarpun suasana bekerja di tempat tersebut dapat menjamin ketenangan dan terhindar daripada kesibukan kota, kos petrol bakal meningkat dua kali ganda kerana melibatkan perjalanan jauh. 

 

Justeru, keputusan paling sesuai ialah menyewa di kawasan bandar. Harga sewa ruang pejabat mungkin lebih mahal tetapi ia lebih strategik terutamanya buat staf yang menggunakan pengangkutan awam. Kos perjalanan harian juga boleh dikurangkan! 

 

Senaraikan kesan positif dan negatif 

 

Susah Nak Buat Keputusan yang Tepat? Mudah Saja dengan 5 Cara Ini

 

Setiap keputusan yang dibuat berpotensi memberi impak yang besar terhadap kestabilan perusahaan anda. 

 

Cuba senaraikan kesan-kesan positif dan negatif daripada setiap keputusan yang bakal anda pilih. Kemudian, bandingkan kesemuanya supaya anda dapat menilai dengan jelas pilihan manakah yang mampu membawa keuntungan kepada syarikat. 

 

Andainya anda tidak mempertimbangkan kesan-kesan ini, mungkin keputusan yang anda ambil akan mengakibatkan kerugian yang besar sehingga menjejaskan perniagaan anda. 

 

Perkongsian pendapat dan idea 

 

Anda tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan satu aspek sahaja. Cari dan kumpul maklumat yang relevan dan buat analisis dengan teliti. 

 

Sekiranya anda tidak boleh melakukannya seorang diri, adakan mesyuarat dan dapatkan pandangan daripada pihak lain. Proses penyelesaian akan menjadi lebih cepat dan memudahkan anda untuk mencapai kata putus. 

 

Contohnya, anda ingin melancarkan kempen bagi memperkenalkan produk baru. Kesemua tenaga kerja syarikat akan terlibat dalam penghasilan produk serta aktiviti pemasaran. Setiap seorang daripada mereka tentu mempunyai idea tersendiri untuk menjayakan kempen tersebut. 

 

Dapatkan pandangan daripada setiap individu bagi memastikan matlamat kempen dapat dicapai. Kesepakatan dan muafakat juga akan mewujudkan persefahaman yang baik antara majikan dan staf. 

 

Berfikiran terbuka  

 

Susah Nak Buat Keputusan yang Tepat? Mudah Saja dengan 5 Cara Ini

 

Mempunyai minda yang terbuka ialah salah satu sifat utama yang perlu ada dalam diri usahawan. Sebagai seorang ahli perniagaan yang bersaing dalam ekonomi yang semakin mencabar, anda hendaklah sentiasa bersedia untuk mengharungi bermacam-macam rintangan, lebih-lebih lagi ketika di peringkat awal memulakan perniagaan. 

 

Tidak semua strategi yang anda rancangkan dapat menyumbang kepada kejayaan. Sebaliknya, anda perlu berfikiran terbuka untuk mengadaptasi setiap pembaharuan yang berlaku. Ambil kira trend jualan terkini, minat pelanggan serta perubahan semasa ekonomi yang kian tertumpu kepada pendigitalan.  

 

Kaji semula keputusan 

 

Pastikan anda menilai semula keputusan yang dibuat. Adakah ia berupaya menjawab setiap persoalan bagi menyelesaikan permasalahan utama yang dihadapi selama ini? Apakah keputusan ini dapat memudahkan urusan anda pada masa hadapan? 

 

Penting untuk anda semak semula keputusan tersebut supaya anda bersedia dengan kebarangkalian yang akan berlaku. Andai kata anda gagal, jangan ulangi kesilapan yang sama. Jadikannya sebagai kayu pengukur untuk anda memperbaiki kelemahan yang ada. 

 

Nikmati kelebihan menjadi ahli Unifi Business Club (UBC). Dengan pelbagai tawaran istimewa, proses transformasi digital dapat dipercepatkan. 

 

Kunjungi laman Solusi kami untuk maklumat lanjut!