Article

Perniagaan Takkan Maju Kalau Tak Pandai Urus Kewangan! Jom Tengok 7 Tip Ini

Tip & Panduan

06 Jan 2023 • 3 min read

Kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan akan melebihi pendapatan jika anda tidak menguruskan kewangan syarikat dengan baik. Jika perkara ini berlarutan, ia mungkin akan menyebabkan anda terpaksa menanggung kerugian.

 

 

 

Setiap usahawan perlu bijak mengawal perbelanjaan, menetapkan peruntukan dan mengoptimumkan belanjawan syarikat. Tak kisahlah perniagaan yang dijalankan itu kecil ataupun besar, kegagalan anda berbuat demikian akan menyebabkan perniagaan sukar berkembang dan tidak mampu bertahan dalam jangka masa yang lama. 

 

Rata-rata peniaga khususnya golongan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak mempunyai latar belakang mahupun ilmu yang luas berkaitan kewangan atau perakaunan. Jangan risau, ikuti tip dan panduan berikut. Kami harap perkongsian ini dapat membantu anda memahami konsep pengurusan kewangan syarikat untuk dipraktikkan dalam aktiviti perniagaan harian. 

 

1. Buka akaun atas nama syarikat 

 

Walaupun anda berniaga kecil-kecilan, pastikan anda membahagikan perbelanjaan dengan betul. Asingkan duit peribadi dan duit perniagaan. 

 

Dengan adanya konsep perbelanjaan yang sistematik seperti ini, barulah wang yang terkumpul itu tidak bercampur dan digunakan untuk perbelanjaan yang tidak sepatutnya. 

 

Jangan lupa untuk buka satu akaun bank khas di bawah nama syarikat perniagaan anda, okey? 

 

2. Rekod segala transaksi secara tersusun 

 

Semua transaksi yang dilakukan hendaklah direkodkan. Cara paling selamat ialah dengan menggunakan Excel. 

 

Penting untuk anda mendokumenkan setiap penyata bulanan dengan teratur dan rapi agar mudah untuk mencarinya apabila diperlukan nanti. 

 

Penyata kewangan syarikat ialah antara dokumen yang wajib dihantar kepada pihak bank atau agensi kewangan bagi proses semakan kelayakan pinjaman. 

 

 

Perniagaan Takkan Maju Kalau Tak Pandai Urus Kewangan

 

 

3. Kos belian 

 

Kos belian ialah kos yang dibelanjakan untuk pembelian stok atau produk bagi tujuan perniagaan. Pastikan anda merekod kesemua data penting yang berkaitan seperti tarikh, jenis item, kuantiti, harga dan nama pembekal secara terperinci mengikut kategori. 

 

Kalau boleh, imbas sekali salinan resit pembelian dan simpan di tempat yang selamat. 

 

4. Kos jualan 

 

Sama seperti kos belian, anda hendaklah mencatat setiap transaksi jual beli dengan lengkap untuk dijadikan sebagai rekod rujukan syarikat. 

 

Jangan lupa simpan slip atau resit pembayaran bagi setiap barangan yang terjual untuk memudahkan anda menjejaki penjualan. Sentiasa kemas kini stok supaya ia selari dengan rekod jualan. 

 

5. Kos operasi 

 

Perbelanjaan operasi atau lebih dikenali sebagai kos overhed (overhead cost) ialah bajet yang dikeluarkan oleh syarikat untuk menampung perbelanjaan seperti sewa kedai, penghantaran barangan dan petrol pengangkutan syarikat. 

 

Setiap resit pembayaran bagi kos operasi hendaklah disusun dan disimpan dengan baik supaya anda boleh mengawal kewangan syarikat dengan cermat. 

 

 

Perniagaan Takkan Maju Kalau Tak Pandai Urus Kewangan

 

 

6. Modal dan ambilan peribadi 

 

Anda tidak boleh sesuka hati membelanjakan harta syarikat walaupun anda memegang jawatan tertinggi sebagai pemilik premis. 

 

Sekiranya anda mengambil mana-mana produk jualan atau menggunakan modal perniagaan folluntuk kegunaan peribadi, ia dikira sebagai ambilan. Dua perkara ini wajib direkodkan supaya anda tidak terlupa untuk menggantikannya semula bagi mengelakkan kerugian. 

 

7. Tunai runcit 

 

Petty cash atau tunai runcit merujuk kepada sejumlah wang tunai yang diasingkan untuk kegunaan sampingan perniagaan bagi pembelian bernilai kecil. 

 

Walaupun transaksi boleh dibuat secara dalam talian (online), anda juga perlu ada wang tunai di tangan untuk waktu kecemasan. Namun, janganlah simpan terlalu banyak bagi mengelakkan anda terbelanja untuk kegunaan peribadi. 

 

Klik pautan ini bagi dapatkan sokongan kewangan khas untuk ahli unifi Business Club (uBC)!

 

Masih kurang keyakinan dalam menguasai selok-belok pendigitalan perniagaan? Layari ruangan Solusi kami hari ini untuk penyelesaian yang mudah lagi berkesan.