Article

Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

Pemasaran & Penjenamaan

20 Jan 2023 • 5 min read

Peniaga perlu bijak mengatur pelan strategik apabila menggunakan media sosial untuk memajukan perniagaan.

 

Ramai usahawan sekarang berlumba-lumba untuk mempromosi produk jualan mereka menerusi rangkaian komunikasi dalam talian seperti media sosial. Kewujudan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok banyak membantu usahawan terutama golongan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat capaian yang lebih meluas serta meningkatkan kesedaran jenama dalam kalangan pengguna.   

 

PMKS perlu sedar kepentingan untuk mewujudkan perancangan perniagaan yang berkesan. Membangunkan perniagaan bukan hanya sekadar menyediakan modal dan produk. Promosi secara digital tidak kurang pentingnya dalam menyedarkan orang ramai tentang keberadaan jenama anda di pasaran. Oleh itu, anda hendaklah bijak menggunakan media sosial secara menyeluruh.   

 

Sebagai contoh, memuat naik hantaran foto produk di Instagram tanpa ditemani kapsyen yang padat dengan informasi serta mudah dibaca tidak akan membuatkan pengguna tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk berkenaan, apatah lagi untuk membelinya.  

 

Bagi memperhebatkan kemahiran anda dalam meningkatkan jualan menggunakan media sosial, kami sertakan beberapa tip yang boleh anda manfaatkan.  

 

Guna platform media sosial yang utama  

 

Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

 

Langkah pertama dalam meningkatkan hasil jualan menerusi media sosial ialah dengan memfokuskan penggunaan platform yang dipelopori para pelanggan berpotensi. Sebagai contoh, Facebook mempunyai bilangan pengguna yang ramai tetapi kurang digemari golongan anak muda yang berumur 18 hingga 29 tahun.  

 

Lantaran itu, jika anda menjual produk yang ditujukan khas untuk golongan milenial seperti peranti elektronik atau item fesyen terkini, anda mungkin perlu mengalihkan fokus serta usaha anda kepada penggunaan platform media sosial yang lebih relevan seperti Instagram dan TikTok. 

 

Apa yang penting, anda harus bijak mencipta nama di saluran media sosial yang betul agar mampu mengumpul pelanggan yang dikehendaki serta berjaya mencapai jualan yang menguntungkan.  

  

Hasilkan kandungan menarik yang tidak tertumpu kepada jualan semata-mata  


Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

 

Sekiranya anda mahu menggunakan media sosial sebagai salah satu medium mempromosikan perniagaan, sudah tentu anda perlu bijak mencipta kandungan yang menarik. Hal ini kerana pengguna dan pengikut media sosial zaman sekarang lebih tertarik kepada kandungan yang interaktif.  

 

Anda boleh meningkatkan jualan menggunakan media sosial tetapi caranya harus betul dan ia perlulah dilakukan secara berperingkat. Utamakan kualiti setiap hantaran (post) yang dimuat naik dan bukannya kuantiti. Ciptalah kandungan bernilai yang berciri dua hala demi menarik perhatian pelanggan untuk mengenali jenama anda secara lebih dekat sekali gus membeli produk yang dijual. Caranya:  

 

  • Cipta imej yang diilhamkan oleh situasi kehidupan sebenar agar ia lebih realistik dan tidak kelihatan canggung 

  • Muat naik foto dan video yang mengandungi panduan atau teknik penggunaan produk 

  • Muat naik foto dan video yang mempamerkan individu berpengaruh seperti selebriti, pemengaruh atau influencer dan pakar yang menggunakan produk anda atau memberi pandangan mereka (mengulas) tentang produk tersebut 

 

Anda perlu menggalakkan keyakinan serta kepercayaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan terlebih dahulu. Barulah anda dapat meningkatkan jualan dan produktiviti perniagaan tanpa sebarang masalah.  

  

Mudahkan proses pembelian  

 

Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

 

Langkah seterusnya ialah memudahkan pelanggan membeli produk anda. Ini melibatkan segala hal yang berkenaan dengan pengalaman pelanggan yang bermula daripada proses pemilihan barangan sehinggalah kepada urusan transaksi pembayaran. Dalam erti kata lain, ia merangkumi kesemua hal yang mempunyai hubung kait dengan urusan pembelian.  

 

Instagram kini mempunyai ciri yang membolehkan pemilik akaun memuat naik hantaran atau gambar yang disertai pautan harga dan produk. Sebagai contoh, apabila pelanggan menekan foto produk, kesemua maklumat berkenaan seperti nama dan harga produk akan dipaparkan serta-merta. Ciri ini pasti akan membuatkan pelanggan tertarik. Ia bukan sahaja memudahkan urusan pembelian malah foto yang dipamerkan di media sosial itu akan membantu pengguna dari segi cara penggayaan dan penggunaan produk yang lebih mudah difahami. 

 

Sertakan pautan pembelian   

 

Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

 

Selain membenarkan pengguna meletakkan label nama dan harga produk, Instagram dan Facebook mempunyai ciri yang membolehkan pemegang akaun menjual produk secara langsung. Facebook menyediakan platform berupa katalog, manakala Instagram pula menyediakan pautan yang membawa pelanggan terus ke laman web pemilik akaun. 

 

Sebagai contoh, jika pelanggan berminat dengan produk yang mereka lihat di akaun Instagram, mereka boleh meneruskan pembelian dan transaksi pembayaran dengan menekan butang logo beg See more (selalunya terletak di penjuru bawah kiri foto). Pelanggan akan dibawa terus ke laman web yang memaparkan maklumat lanjut berkenaan produk. 

 

Dengan cara ini, pelanggan tidak perlu bersusah payah menaip alamat laman web perniagaan secara berasingan di enjin carian seperti Google. Ciri Instagram Story juga boleh digunakan oleh peniaga untuk meletakkan pautan maklumat produk seperti See details dan pautan pembelian iaitu Swipe up to shop

 

Bukan itu sahaja, Instagram juga membolehkan pelanggan menyimpan foto produk kegemaran mereka dengan menekan logo riben yang terpapar di bahagian bawah kanan foto agar ia boleh dirujuk kembali di masa akan datang. 

 

Cuba pengiklanan berbayar  


Ilmu Asas Tingkatkan Jualan Guna Media Sosial 

 

Pernah tak semasa anda sedang leka melihat foto atau video yang dimuat naik rakan anda di Instagram, tiba-tiba ada terselit hantaran yang dilabel Sponsored. Lazimnya, hantaran ini berkaitan dengan produk seperti peranti elektronik, item fesyen dan jenama kecantikan. Ia tetap muncul di susur masa atau timeline Instagram anda meskipun anda langsung tidak mengikuti akaun perniagaan tersebut. Anda mungkin merupakan salah seorang pelanggan berpotensi yang tergolong dalam audiens sasaran perniagaan terbabit yang telah dikategorikan mengikut umur, minat dan jantina. 

 

Jika anda memiliki akaun Instagram yang telah ditetapkan sebagai akaun perniagaan atau business page, anda sebenarnya boleh menerbitkan iklan berbayar menerusi perkhidmatan yang dipanggil Instagram ads. Anda boleh memilih had bajet yang anda mahu belanjakan untuk iklan berbayar serta menetapkan tempoh penyiaran iklan mengikut hari. 

 

Terdapat dua cara pembayaran untuk pengiklanan berbayar di Instagram iaitu secara automatik menerusi akuan PayPal atau kad kredit dan debit. Satu lagi cara ialah menerusi pembayaran manual. Anda perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun terlebih dahulu sebelum ia ditolak secara manual oleh Instagram setiap hari sebaik sahaja iklan berbayar anda disiarkan kepada umum. Dengan pembayaran manual, anda tidak akan terbeban dengan bil yang terkumpul sehingga tempoh pengiklanan berbayar anda tamat. 

 

 

Ikuti kami di media sosial (Instagram, Facebook dan Twitter) untuk pelbagai panduan dan perkongsian tip niaga yang berkesan.  

 

Nak digitalkan perniagaan demi melariskan produk jualan anda? Banyak manfaat eksklusif menanti ahli Unifi Business Club (UBC)! Klik di sini untuk penyelesaian yang disediakan.